Komuniti perniagaan dan pelabur gergasi dari Jepun terus menzahirkan keyakinan tinggi terhadap ekosistem ekonomi Malaysia dengan menyatakan hasrat untuk mengekalkan serta memperluaskan lagi pelaburan sedia ada mereka di negara ini, menurut laporan BuletinTV3.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani berkata, sentimen positif itu disuarakan sendiri oleh para pemain industri Jepun ketika sesi pertemuan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Tokyo.
Menurutnya, kestabilan Malaysia sebagai rakan dagang serta reputasi sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai menjadi pemacu utama keyakinan tersebut.
“Dalam perjumpaan kita dengan pemain-pemain industri di Jepun ini, hampir majoriti daripada mereka mahu terus melakukan pelaburan dekat Malaysia. Banyak sektor yang mereka lihat, salah satunya mereka mengakui betapa meyakinkan Malaysia untuk membekalkan LNG kepada mereka,” katanya pada sidang media penutup lawatan rasmi tersebut semalam.
Selain sektor tenaga konvensional seperti gas asli cecair (LNG), Johari berkata pelabur negara matahari terbit itu kini mengalih tumpuan kepada beberapa industri strategik masa hadapan.
Antaranya termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF), industri semikonduktor, serta sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang melibatkan kerjasama teknologi hiliran berimpak tinggi.
Menyentuh mengenai cabaran yang dikemukakan oleh para pelabur, beliau menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan bukanlah melibatkan dasar besar kerajaan, sebaliknya hanya berkaitan aspek teknikal dan operasi yang memerlukan tindakan susulan yang pantas.
“Ada banyak isu yang mereka bangkitkan, tapi kebanyakan isu itu sangat teknikal dan melibatkan operasi. Jadi saya bagi mereka keyakinan bahawa saya sendiri akan memantau perkara ini,” tegas beliau.
Tambah Johari, kementeriannya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk mempercepatkan proses pelaksanaan bagi memastikan peluang pelaburan tidak terlepas ke negara saingan dalam tempoh dua tahun kritikal ini.















