ASIA
2 min membaca
PM Anwar jamin sokongan berterusan bagi pelaburan berkualiti tinggi di Malaysia
Kemudahan pembuatan canggih berkenaan kini telah menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada sekitar 2,700 tenaga kerja tempatan.
PM Anwar jamin sokongan berterusan bagi pelaburan berkualiti tinggi di Malaysia
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa menerima kunjungan hormat delegasi Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S). / Facebook/Anwar Ibrahim

Putrajaya memberi jaminan akan terus memberikan sokongan yang jelas dan konsisten kepada pelaburan berkualiti tinggi bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen tersebut selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat gergasi Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) Michael Mertin, bersama delegasi syarikat itu semalam.

"Keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur antarabangsa seperti AT&S merupakan cerminan kestabilan politik negara, pengurusan ekonomi yang berhemah serta kejelasan dasar Kerajaan MADANI," kata Anwar menerusi satu hantaran di media sosial.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan perkembangan semasa operasi AT&S Malaysia yang berpangkalan di Kulim, Kedah.

Kemudahan pembuatan canggih berkenaan kini telah menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada sekitar 2,700 tenaga kerja tempatan.

AT&S merupakan antara peneraju global dalam pengeluaran substrat Litar Bersepadu (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak.

Syarikat itu juga membangunkan teknologi perhubungan canggih yang menyokong pelbagai industri strategik termasuk aeroangkasa, peranti mudah alih, automotif, perubatan, serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Kehadiran fasiliti di Kulim itu meletakkan Malaysia sebagai antara hab pengeluaran utama AT&S di peringkat global, selain daripada kemudahan sedia ada mereka di Austria, China dan India, sekali gus membuktikan daya saing negara yang tinggi di mata pelabur dunia.

SUMBER:TRT Global