Langkah kerajaan melaksanakan penggunaan biodiesel B15 bermula 1 Jun lalu dilihat sebagai pemacu utama dalam memperkukuh keterjaminan tenaga negara, di samping menyokong agenda kelestarian menerusi peralihan kepada sumber alternatif yang lebih hijau, lapor New Straits Times.
Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad memberi jaminan bahawa fasa peralihan ini akan berjalan lancar memandangkan Program Biodiesel Negara disokong penuh oleh rangkaian infrastruktur domestik yang kukuh, termasuk 452 kilang minyak sawit dan 19 kemudahan pemprosesan biodiesel di seluruh negara.
Langkah strategik ini bukan sahaja meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik dan memajukan sektor bahan api bio, malah mampu memberikan impak fiskal yang signifikan kepada ekonomi negara melalui penjimatan struktur subsidi.
"Sebelum ini kita telah pun melaksanakan B7, B10 dan B12. Jadi, tidak sepatutnya ada masalah untuk rakyat menyesuaikan diri dengan B15. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh industri minyak sawit tempatan," katanya.
Melalui peningkatan adunan daripada B10 kepada B15, Malaysia dianggar mampu mengurangkan beban kewangan negara dengan penjimatan sekitar RM1.5 bilion setahun bagi subsidi bahan api.
Selain itu, penggunaan biodiesel tahunan negara dijangka melonjak kepada 801,000 tan berbanding 534,000 tan sebelum ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kemudahan pengeluaran sedia ada dalam negara kini mampu menjana sekitar 1.5 juta liter minyak biodiesel setiap bulan, sekali gus memastikan kelangsungan rantaian bekalan sektor industri dan perladangan berjalan lancar.
















