Pengenalan tenaga nuklear kini dilihat sebagai pelengkap yang penting bagi tenaga boleh baharu (RE) demi memastikan kestabilan bekalan elektrik negara, terutamanya bagi menyokong lonjakan permintaan luar biasa daripada industri berteknologi tinggi dan pusat data, lapor BERNAMA.
Langkah itu juga disifatkan sebagai alternatif terbaik bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu, sekali gus memacu sasaran Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050 seperti yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ketua Pegawai Eksekutif MyPOWER Corporation, Asdirhyme Abd Rasib, menjelaskan walaupun NETR menyasarkan 70 peratus campuran tenaga masa hadapan daripada RE, kebergantungan sepenuhnya kepada sumber itu adalah mencabar ekoran faktor geografi dan batasan ruang, khususnya di Semenanjung Malaysia.
"Semenanjung Malaysia mempunyai sumber RE yang terhad. Adalah tidak realistik untuk kita menutupi seluruh semenanjung dari sempadan utara hingga ke Johor dengan panel solar.
“Oleh sebab itu, tenaga nuklear kekal sebagai pilihan yang sangat berdaya maju untuk menyokong sistem elektrik kita secara kukuh," katanya ketika sesi dialog di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26).
Beliau menambah bahawa Malaysia kini berada di fasa pertama yang memfokuskan kepada penelitian dasar, kerangka perundangan, serta pembangunan modal insan yang dijangka mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun akan datang bagi memastikan persediaan rapi.
Pandangan tersebut turut disokong pakar antarabangsa dari United Kingdom dan Indonesia yang bersetuju bahawa maksima RE semata-mata tidak mampu menampung lonjakan drastik ekonomi digital, sekali gus menjadikan kuasa nuklear sebagai komponen wajib dalam landskap peralihan tenaga global.
















