ASIA
2 min membaca
Krisis rantaian bekalan global: Malaysia, Indonesia perhalusi langkah strategik
Kelangsungan import arang batu dari Indonesia dan kerjasama grid elektrik antara Sarawak dan Kalimantan kekal menjadi keutamaan, memandangkan pasaran tenaga global kini sangat rapuh akibat pergolakan geopolitik semasa.
Krisis rantaian bekalan global: Malaysia, Indonesia perhalusi langkah strategik
Mesyuarat JCBC kali ini akan diketuai Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono. / Foto: FB Mohamad Hasan / User Upload

Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia yang kian menekan rantaian bekalan global, Malaysia dan Indonesia bersedia memperincikan langkah strategik bagi mendepani cabaran tersebut pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17, lapor BuletinTV3.

Pertemuan tahunan yang kritikal itu bakal memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama bagi memastikan kestabilan ekonomi, keselamatan bekalan serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara jiran kekal terpelihara.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Farzamie Sarkawi, menegaskan dinamika global semasa menuntut hubungan dua hala yang lebih utuh demi mempertahankan aliran perdagangan serantau daripada sebarang gangguan luar.

"Dalam keadaan gangguan bekalan dunia yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan serantau, hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia amat penting. Esok kita mahu menetapkan hala tuju dan agenda yang jelas bagi mempercepatkan perbincangan yang sedang berjalan," katanya.

Menyentuh soal keterjaminan tenaga, beliau menambah bahawa kelangsungan import arang batu dari Indonesia dan kerjasama grid elektrik antara Sarawak dan Kalimantan kekal menjadi keutamaan, memandangkan pasaran tenaga global kini sangat rapuh akibat pergolakan geopolitik semasa.

Mesyuarat JCBC kali ini akan diketuai oleh Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono.

Selain menjadi platform menilai persetujuan antara pemimpin utama kedua-dua negara, delegasi juga akan merangka asas konkrit sebelum dibawa ke Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-14 akan datang.