Pembangunan pesat kecerdasan buatan (AI) seharusnya tidak menghakis nilai kemanusiaan, sebaliknya perlu dipandu oleh hikmah, ihsan, serta pertimbangan moral yang jelas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan ukuran sebenar kemajuan global bukan terletak pada kecanggihan mesin dan teknologi, tetapi sejauh mana ia mampu mengangkat martabat manusia dan memperkukuh keadilan sejagat.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk “Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin” di Universiti Tokyo, selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden universiti berkenaan Teruo Fujii.
"Teknologi mungkin berupaya menghasilkan kata-kata lunak atau memberi jawapan yang meyakinkan. Namun ia tidak mungkin mampu mengenal kehilangan, merasai kasih sayang, memahami penyesalan dan menanggung pengalaman hidup yang memberikan pengertian kepada setiap pertimbangan manusia," kata Anwar dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook.
Mengulas mengenai hala tuju negara, Anwar berkata Malaysia kini sedang mengorak langkah agresif untuk muncul sebagai sebuah 'Negara AI' menjelang tahun 2030.
Bagaimanapun, beliau mahu Asia mengambil peranan utama dalam membentuk sebuah peradaban digital yang adil serta berpaksikan kepada kemakmuran yang dikongsi bersama, dan bukannya dikuasai secara mutlak oleh segelintir syarikat gergasi.
Perdana Menteri turut meminjam gagasan ningen oleh ahli falsafah Jepun, Watsuji Tetsurō, yang menekankan bahawa manusia tidak terbentuk dalam keterasingan, tetapi melalui hubungan sosial yang erat.
Oleh itu, kedaulatan digital amat penting bagi memastikan setiap negara mempunyai keupayaan untuk mengurus dan menentukan hala tuju teknologinya sendiri demi memelihara fabrik kemasyarakatan tersebut.
"Cabaran kita bukan untuk menghalang kemajuan, tetapi memastikan kemajuan itu dipandu oleh nilai, disandarkan kepada hikmah dan ihsan, serta menjunjung tanggungjawab dan kepedulian sesama insan," tegas Perdana Menteri.













