ASIA
2 min membaca
PM Thai Anutin arah rundingan segera dengan Malaysia susulan sekatan import udang
Kerajaan Thailand berkata ia sedang mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan impak sekatan itu, selain usaha menstabilkan harga, menguruskan lebihan bekalan domestik dan meneroka pasaran eksport alternatif.
PM Thai Anutin arah rundingan segera dengan Malaysia susulan sekatan import udang
Anutin berkata sekatan yang berpanjangan boleh menjejaskan golongan penternak, pengeksport, serta rantaian bekalan makanan laut. (FAIL) / AP

Perdana Menteri Thai Anutin Charnvirakul pada Selasa mengarahkan satu perbincangan segera diadakan bersama Malaysia susulan tindakan negara mengenakan sekatan import sementara terhadap lima spesies udang dari Thailand, lapor BERNAMA.

Beliau memberi amaran bahawa sekatan yang berpanjangan boleh menjejaskan golongan penternak, pengeksport, serta rantaian bekalan makanan laut.

Arahan itu dikeluarkan selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia mengumumkan penggantungan sementara untuk import lima spesies udang berkenaan berkuat kuasa 1 Jun lalu, sebagai sebahagian daripada kawalan lebih ketat terhadap produk perikanan dari Thailand.

Spesies yang terjejas termasuklah udang harimau coklat (Penaeus esculentus), udang kaki merah/putih (Fenneropenaeus merguiensis), udang putih lutz (Penaeus vannamei), udang harimau (Penaeus monodon) dan udang biru (Penaeus stylirostris).

Jurucakap Kerajaan Thai Ratchada Thanadirek berkata Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengeluarkan arahan tersebut semasa mesyuarat kabinet dengan menekankan kepentingan melindungi mata pencarian para penternak udang serta pekerja dalam rantaian bekalan industri itu.

"Jika isu ini dibiarkan berlarutan, ia boleh menjejaskan harga udang serta pendapatan para penternak berskala kecil," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.

Ratchada menambah, Anutin telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan negara itu, bersama-sama Kementerian Pertanian dan Koperasi, untuk mengadakan perbincangan segera dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat melindungi perdagangan dua hala, di samping memastikan peladang Thai tidak menanggung beban tersebut sendirian.

"Perdana Menteri menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya menjadi beban yang ditanggung oleh penternak sahaja, memandangkan industri udang menyokong keseluruhan rantaian bekalan, termasuk ladang, pengumpul, kilang pemprosesan, pengeksport, serta tenaga kerja yang besar," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, agensi-agensi berkaitan turut diarahkan untuk menyediakan langkah-langkah bagi mengurangkan impak sekatan tersebut.

Ini termasuk usaha menstabilkan harga, menguruskan sebarang lebihan bekalan domestik, serta mempercepatkan usaha bagi meneroka dan mendapatkan pasaran eksport alternatif.