ASIA
2 min membaca
Malaysia sasar peranan utama hab MRO Asia Pasifik susulan pelaburan RM267 juta Collins Aerospace
Syarikat itu merancang untuk menggandakan jumlah pekerja mahir Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi pelaburan berterusan dalam program latihan dan pembangunan kemahiran digital bernilai tinggi.
Malaysia sasar peranan utama hab MRO Asia Pasifik susulan pelaburan RM267 juta Collins Aerospace
(FAIL) Malaysia sasar peranan utama hab MRO Asia Pasifik susulan pelaburan RM267 juta Collins Aerospace. / Reuters

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa utama di rantau Asia Pasifik, menurut laporan New Straits Times.

Keyakinan ini diperkukuh menerusi langkah gergasi industri dari Amerika Syarikat, Collins Aerospace, yang melabur sebanyak AS$63 juta (kira-kira RM267 juta) bagi memperluaskan kemudahan MRO miliknya di Subang Aerotech Park.

Pelaburan besar oleh anak syarikat RTX ini menyaksikan keluasan fasiliti berkenaan meningkat hampir empat kali ganda daripada 46,000 kaki persegi kepada 164,000 kaki persegi.

Ia sekali gus menjadikan Subang sebagai hab serantau terbesar Collins Aerospace di Asia Pasifik bagi operasi MRO komponen pesawat generasi baharu yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

"Peluasan kemudahan di Subang akan mengoptimumkan operasi serta sokongan kepada pelanggan menerusi tempoh pemulihan perkhidmatan yang lebih pantas dan peningkatan pada kecekapan operasi.

“Kemudahan baharu ini direka bentuk untuk menyokong pertumbuhan industri penerbangan global yang dijangka menerima lebih 20,000 pesawat baharu dalam tempoh dua dekad akan datang," kata Presiden Kawalan dan Kuasa Collins Aerospace, Irene Makris.

Menariknya, kemudahan canggih ini beroperasi sepenuhnya menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan.

Malah, syarikat itu merancang untuk menggandakan jumlah pekerja mahir Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi pelaburan berterusan dalam program latihan dan pembangunan kemahiran digital bernilai tinggi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menyempurnakan majlis perasmian tersebut menegaskan bahawa Malaysia memiliki kelebihan kompetitif yang utuh dari segi lokasi strategik, infrastruktur moden, kestabilan politik serta ketersediaan tenaga kerja teknikal yang bersedia memacu industri aeroangkasa ke tahap lebih tinggi.

"Khususnya dalam sektor MRO, ramai bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai kemahiran yang sesuai untuk menyertai industri ini.

“Mereka merupakan tenaga kerja berpengalaman dan bersedia untuk memenuhi keperluan syarikat yang melabur di Malaysia," ujar Loke, yang turut berkongsi mengenai inisiatif latihan semula pesara tentera bagi menyokong permintaan industri.