Rundingan sempadan darat dan maritim antara Malaysia dan Indonesia yang telah berlarutan selama beberapa dekad kini berada di peringkat akhir persetujuan dan dijangka dimuktamadkan pada Ogos ini, menurut laporan BuletinTV3.
Perkembangan positif ini disahkan oleh Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan selepas mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono, di Gedung Pancasila, Jakarta.
"Ada juga isu lama, perbatasan darat dan maritim yang saya rasa dan yakin sudah di peringkat akhir persetujuan untuk kami bawa kepada rundingan dan persetujuan kedua-dua pemimpin," kata Mohamad Hasan.
Pencapaian teknikal menerusi JCBC Ke-17 ini akan menjadi agenda utama dalam forum konsultasi tahunan yang melibatkan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Selain isu sempadan, mesyuarat turut mencapai persetujuan untuk meningkatkan komitmen dalam sektor strategik bagi mendepani gangguan rantaian bekalan global.
Menyentuh cabaran geopolitik semasa, Mohamad Hasan menekankan keperluan mendesak bagi negara-negara anggota ASEAN untuk mempertingkatkan perdagangan intra-rantau, khususnya selepas mengambil pengajaran daripada konflik di Asia Barat serta perang Rusia-Ukraine.
Beliau mendedahkan bahawa kadar perdagangan sesama ASEAN ketika ini masih berada di bawah paras 25 peratus, jauh daripada potensi sebenar rantau tersebut.
Sementara itu, Menteri Luar Indonesia Sugiono menegaskan komitmen Jakarta untuk terus bekerjasama dengan Kuala Lumpur dalam memastikan kestabilan serantau serta menyumbang kepada keamanan global.
"Pelbagai upaya dilakukan kedua-dua negara dalam rangka menjaga stabiliti kawasan dan turut serta dalam upaya pendamaian dunia," ujar Sugiono.
Mesyuarat JCBC kali ini menjadi landasan penting sebelum Malaysia menjadi tuan rumah bagi Rundingan Tahunan Ke-14 Malaysia-Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.















