Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan tiga sindiket penipuan antarabangsa berasingan dan menahan 32 individu, termasuk empat warga tempatan, dalam serbuan ke atas beberapa premis yang dijadikan pusat panggilan, menurut laporan BERNAMA.
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu turut merampas pelbagai peralatan komputer dan telekomunikasi yang dianggarkan bernilai RM123,000.
"Serbuan pertama di Taman Pinggiran Bukit Minyak berjaya melumpuhkan sindiket 'love scam' yang dipercayai beroperasi sejak Januari lalu dengan menyasarkan mangsa di Malaysia, China dan Taiwan. Seramai 10 warga asing ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warga China, seorang wanita warga China dan seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 24 hingga 41 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam serbuan pertama itu, polis merampas 16 komputer, 23 telefon bimbit, dan empat router WiFi bernilai RM78,000, bersama beberapa skrip penipuan yang dipercayai digunakan oleh ahli sindiket untuk memperdaya mangsa.
Sementara itu, Azizee menjelaskan serbuan kedua membongkar sindiket penipuan pertukaran mata wang kripto USDT yang menyasarkan mangsa di Taiwan.
Dalam operasi tersebut, seramai 15 individu ditahan termasuk tujuh warga Taiwan, empat warga Vietnam, dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 49 tahun, manakala peralatan bernilai RM25,000 turut disita.
Bagi serbuan ketiga, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan panggilan (phone scam) yang menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai polis Jepun untuk menipu mangsa di Jepun dan Taiwan.
"Seramai tujuh warga asing telah ditahan, melibatkan lima lelaki Jepun dan dua lelaki Taiwan berusia antara 20 hingga 47 tahun. Serbuan itu turut merampas telefon bimbit, komputer riba, iPad, pakaian seragam Polis Osaka, kad kuasa dan lencana polis palsu, serta peralatan komunikasi satelit yang dianggarkan bernilai RM20,000," jelas beliau lagi.
Menurut Azizee, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.











