DUNIA
2 min membaca
Revolusi AI: Malaysia kekal komited pacu masa depan kerja berpaksikan nilai kemanusiaan
Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, pendekatan itu turut memperkukuh daya tahan tenaga kerja domestik dalam mendepani perubahan struktur pasaran buruh global.
Revolusi AI: Malaysia kekal komited pacu masa depan kerja berpaksikan nilai kemanusiaan
R. Ramanan berucap di Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-114 di Geneva, Switzerland. / Foto: FB Ramanan Ramakrishnan / User Upload

Malaysia menegaskan pendirian yang jelas untuk terus mengutamakan peranan pasaran tenaga buruh yang seiring dengan kemajuan teknologi.

Langkah itu diambil bagi memastikan setiap pekerja dilengkapi dengan kemahiran masa depan yang relevan, dilindungi sistem perlindungan sosial yang kukuh, serta terus mendapat akses kepada peluang pekerjaan berkualiti dan bermaruah.

Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, pendekatan itu turut memperkukuh daya tahan tenaga kerja domestik dalam mendepani perubahan struktur pasaran buruh global.

Ia selari dengan Laporan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2026 yang menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) kini berada di fasa penentuan sama ada untuk memperkukuh keadilan sosial atau memburukkan lagi ketidaksamaan global.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia sentiasa menegaskan bahawa pembangunan teknologi mesti berpaksikan nilai-nilai keadilan dan ihsan, dengan penekanan untuk membina keupayaan diri dalam ekosistem AI," jelas beliau menerusi satu kenyataan.

Sebagai bukti AI mampu memperluas peluang kerja, portal MYFutureJobs telah merekodkan 1.49 juta penempatan pekerjaan menerusi padanan kerja berasaskan teknologi.

Selain itu, aspek kebajikan dan keselamatan pekerja terus diperkukuh dengan hampir 10 juta tenaga kerja kini dilindungi di bawah Skim Lindung 24 JAM PERKESO.

Bagi memastikan tiada golongan yang tertinggal dalam transformasi digital, kerajaan turut mempergiat pembangunan kemahiran melalui insentif latihan AI, termasuk Program Jelajah AI MyMahir dan program peningkatan kemahiran untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Kesemua usaha ini menekankan satu prinsip iaitu masa depan pasaran tenaga buruh tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan AI semata-mata, tetapi mesti dibentuk oleh dasar yang mampan, adil dan inklusif. Malaysia akan terus membawa suara ini di peringkat global," tambah Ramanan.

SUMBER:TRT Global