Forum Pasaran Modal Islam Türkiye-Malaysia yang berlangsung di Istanbul menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama sistem kewangan Islam serta membuka saluran pelaburan baharu antara kedua-dua negara.
Forum anjuran bersama Pejabat Kewangan dan Pelaburan Presiden Türkiye, Lembaga Pasaran Modal (SPK) Türkiye, dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) ini turut mendapat kerjasama Universiti Ibn Haldun bagi memacu integrasi pasaran modal Islam global.
Timbalan Ketua Pejabat Pelaburan dan Kewangan Presiden Türkiye, Furkan Karayaka, memuji kepimpinan Malaysia yang bukan sekadar menajdi peserta, malah merupakan negara penentu piawaian global yang memberi inspirasi dalam sektor kewangan Islam.
Mengulas mengenai pertumbuhan pesat pasaran modal berasaskan penyertaan di Türkiye bagi tahun 2025, beliau mendedahkan saiz dana pelaburan penyertaan telah melonjak 47 peratus mencecah 864 bilion lira Turki, manakala dana pencen meningkat 74 peratus kepada kira-kira 800 bilion lira Turki.
"Matlamat kita melangkaui sekadar mengenali satu sama lain dan mewujudkan sistem sebenar yang membolehkan pergerakan modal yang mudah dan selamat antara Istanbul dan Kuala Lumpur.
“Ia meliputi bekerjasama dalam peraturan, menerokai pengiktirafan bersama, sebut harga silang (cross-quotation), serta membangunkan produk bersama untuk sukuk dan instrumen kewangan penyertaan," kata Karayaka.
Beliau turut menekankan bahawa laluan yang menghubungkan Selat Bosphorus dan Selat Melaka bukan sekadar talian geografi, tetapi merupakan koridor pengaliran pengetahuan, bakat dan modal.
Mengambil kira peranan Türkiye sebagai tuan rumah persidangan COP31 di Antalya pada November ini, Karayaka menegaskan bahawa Türkiye dan Malaysia boleh membuktikan kepada dunia bahawa instrumen sukuk merupakan kaedah paling dipercayai dalam menjana dana untuk pembiayaan iklim dan kelestarian global.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPK, Ali Erdurmuş, berkata kewangan Islam menyumbang secara signifikan kepada ekonomi sebenar melalui perkongsian untung dan rugi, sekali gus mengurangkan spekulasi kewangan dan memperluas keterangkuman kewangan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pada tahun lalu, jumlah terbitan sukuk di Türkiye mencecah 350 bilion lira Turki, merangkumi 13 peratus daripada keseluruhan instrumen hutang korporat yang diterbitkan pada 2025.
"Sehingga April 2026, terdapat 92 dana penyertaan di Türkiye dengan saiz portfolio 377 bilion lira dan 65 dana pencen penyertaan dengan saiz portfolio 894 bilion lira.
“Di sebalik perkembangan ini, saya ingin menegaskan bahawa memperkukuh kerjasama antara Türkiye dan Malaysia adalah amat berharga, terutamanya memandangkan Malaysia merupakan salah satu penggerak utama pasaran sukuk global," ujar Erdurmuş.
Pertumbuhan pasaran ini turut didorong oleh trend global ke arah transformasi hijau.
Laporan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) menunjukkan pasaran sukuk global telah berkembang kepada AS$1.1 trilion, dengan terbitan sukuk lestari dan sukuk hijau masing-masing mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 33 peratus dan 95 peratus, mencerminkan daya tahan instrumen ini dalam memenuhi keperluan pembiayaan moden.


















