Sebuah sistem pendaftaran ejen kecerdasan buatan (AI) sedang dibangunkan untuk kegunaan 150,000 penjawat awam di Singapura, menurut laporan The Straits Times.
Langkah strategik itu akan membolehkan kakitangan awam memanfaatkan teknologi AI dalam tugasan harian mereka tanpa menjejaskan aspek keselamatan data sensitif negara.
Daftar yang dikenali sebagai AI Assistant Desk itu berfungsi sebagai benteng keselamatan untuk memantau pemilik serta aktiviti ejen AI yang mampu membuat keputusan dan bertindak pantas.
Set amalan tersebut sedang dipercepatkan oleh Agensi Teknologi Kerajaan (GovTech) bagi menyediakan pengawasan yang lebih ketat terhadap penggunaan AI dalam pentadbiran.
"Kami mahu mewujudkan lapisan peraturan yang boleh diubah suai, alatan AI yang diluluskan serta satu sistem daftar bagi memberikan keterlihatan dan keselamatan yang lebih baik, sekali gus memastikan orang ramai menggunakan ejen AI ini dengan betul," kata Ketua Pegawai Eksekutif GovTech, Goh Wei Boon.
Sistem yang kini dalam fasa ujian itu dijangka akan dilancarkan secara meluas menjelang akhir tahun ini.
Melalui sistem ini, sekatan keselamatan yang ketat akan dikenakan seperti menghalang ejen AI daripada memadam fail penting, mengehadkan penghantaran e-mel kepada penerima luar, serta menyaring penggunaan bahasa tidak sopan secara automatik.
Selain meningkatkan produktiviti, Singapura turut mengintegrasikan keupayaan AI dalam memperkukuh sistem keselamatan siber mereka.
GovTech kini sedang membangunkan alatan AI untuk menjalankan ujian penembusan (penetration testing) secara automatik dan berterusan ke atas kira-kira 2,000 sistem kerajaan yang menyimpan data serta transaksi melibatkan rakyat.
"Proses ini sangat renyah. Jika anda melakukan 'pen test' setahun sekali, anda hanya selamat sekali sahaja dalam setahun, betul? Dengan automasi AI, kami boleh menguji sistem kami secara berterusan," jelas Goh lagi mengenai kepentingan teknologi itu dalam mengesan ancaman siber dengan lebih proaktif.















