Malaysia sedang meneliti beberapa syarikat pengeluar antarabangsa sebagai alternatif bagi menggantikan bekalan peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM), lapor New Straits Times.
Langkah ini diambil susulan tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem persenjataan berkenaan kepada Malaysia.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mendedahkan antara negara pengeluar yang berada dalam radar penelitian termasuk Itali, Perancis, Türkiye, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun.
Bagaimanapun, tumpuan utama kerajaan adalah untuk melihat ketersediaan pasaran bagi mengelakkan tempoh menunggu yang terlalu lama.
"Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap. Mungkin AS tengah buat untuk kapal-kapal dia, Itali juga tengah buat, jadi kalau ada saya nak minta dulu. Jadi kapal yang kita akan dapat Disember ini akan ada sistem peluru berpandu 'surface to surface'. Peluru yang mampu tembak jarak jauhnya 300 kilometer, itu yang kita nak," katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di Kota Tinggi, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menegaskan, aspek integrasi sistem dan tawaran harga yang kompetitif akan dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berlembut dan tetap akan meneruskan tindakan tuntutan serta saman terhadap syarikat Norway yang terlibat ekoran kegagalan mereka mematuhi kontrak yang telah dimeterai.
"(Norway mohon maaf) Maaf, maaflah. Tetapi tuntutan tetap kita buat. Saman tetap saman, saman pada syarikat itu. Tetapi jika Norway betul-betul mahu jaga persahabatan dengan Malaysia, dia boleh bantu dan dahulukan tuntutan wang lebih RM1 bilion. Kos peluru berpandu itu lebih RM600 juta, kemudian kos-kos tidak langsung lain seperti latihan, integrasi sistem dan lain-lain, semua itu membabitkan kos jadi siapa yang akan tanggung disebabkan kegagalan mereka," tegas beliau.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM serta sistem pelancar berkaitan kepada Malaysia atas alasan melindungi keselamatan negara mereka.
Kontrak asal perolehan NSM bernilai 124 juta euro (kira-kira RM571.9 juta) itu ditandatangani pada April 2018 antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) bagi melengkapkan enam buah Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Susulan pembatalan tersebut, Malaysia telah menghantar surat tuntutan saman lebih RM1 bilion dan kini sedang menanti maklum balas rasmi daripada pihak Norway.
















