DUNIA
2 min membaca
Krisis Asia Barat: Malaysia teroka pasaran baharu bekalan minyak
Langkah strategik itu diambil sebagai pelan kesiapsiagaan negara bagi menjamin keselamatan tenaga domestik dalam mendepani impak ketidaktentuan krisis geopolitik di Asia Barat.
Krisis Asia Barat: Malaysia teroka pasaran baharu bekalan minyak
(FAIL) Antara wilayah yang diteliti kerajaan termasuk benua Afrika, Rusia, Türkiye, rantau Amerika Selatan serta Singapura. / Reuters

Malaysia sedang meneroka pasaran baharu di peringkat global bagi mendapatkan bekalan minyak mentah dan bertapis, menurut laporan New Straits Times.

Langkah strategik itu diambil sebagai pelan kesiapsiagaan negara bagi menjamin keselamatan tenaga domestik dalam mendepani impak ketidaktentuan krisis geopolitik di Asia Barat.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan usaha mengenal pasti sumber alternatif berkenaan sedang giat diatur.

Antara wilayah yang berada dalam radar penelitian kerajaan termasuklah benua Afrika, Rusia, Türkiye, rantau Amerika Selatan, selain bekalan minyak bertapis dari Singapura.

"Tetapi sudah pasti ia juga harus mencakupi atau perlu dilihat dalam aspek ketersediaan fasiliti kita untuk memproses bekalan berkenaan. Sebab kita tahu setiap bekalan minyak mentah yang datang daripada kawasan berbeza mempunyai karakter minyak yang berbeza," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pihak PETRONAS akan terlebih dahulu membuat penilaian teknikal yang mendalam.

Hal ini bagi memastikan ciri serta komposisi unik minyak mentah dari negara luar yang bakal diimport itu benar-benar serasi dan mampu diproses oleh kemudahan penapisan sedia ada di Malaysia.

Dalam pada itu, Akmal turut memperbetul salah faham berhubung jaminan bekalan minyak negara yang dilaporkan stabil sehingga Julai ini.

Beliau menegaskan tempoh tersebut bukanlah indikator bahawa negara akan mengalami krisis atau kesukaran selepas bulan berkenaan, sebaliknya ia mencerminkan ketelusan kerajaan dalam menguruskan operasi bekalan tenaga semasa.

"Syarikat bekalan minyak terutamanya PETRONAS akan memberi kemas kini sebaik sahaja mereka mengesahkan perjanjian kontrak bekalan, sebab itu bukan bermaksud sehingga Julai negara berada dalam situasi sukar.

“Kita mahu mengelak daripada memeterai kontrak perjanjian jangka panjang yang terlalu lama bagi mengelakkan negara terikat dengan risiko kerugian sekiranya berlaku sebarang perubahan mendadak pada harga pasaran minyak global," tambah beliau, sambil menyatakan status keselamatan bekalan seterusnya akan dikemas kini menjelang penghujung bulan ini.