IKLIM
2 min membaca
El Niño: Anwar arah kesiapsiagaan peringkat akar umbi diperkukuh
Kerajaan mengarahkan METMalaysia segera memperhebat usaha turun padang bagi memberikan taklimat serta pencerahan yang jelas kepada masyarakat bagi memastikan seluruh negara bersiap sedia menghadapi sebarang implikasi daripada fenomena berkenaan.
El Niño: Anwar arah kesiapsiagaan peringkat akar umbi diperkukuh
Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Khamis, 11 June 2026. / Facebook/Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan persediaan awal dan tindakan pencegahan di peringkat akar umbi adalah benteng terbaik negara dalam mendepani impak cuaca ekstrem.

Perkara itu disuarakan semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) meneliti laporan menyeluruh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berhubung fenomena El Niño.

Susulan itu, kerajaan mengarahkan METMalaysia untuk segera memperhebat usaha turun padang bagi memberikan taklimat serta pencerahan yang jelas kepada masyarakat bagi memastikan seluruh negara bersiap sedia menghadapi sebarang implikasi daripada fenomena berkenaan.

Selain isu cuaca, mesyuarat turut menyentuh hala tuju sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) negara melalui pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).

Menurut Anwar, kerajaan berpandangan bahawa industri tersebut perlu terus dipacu oleh kecekapan dan kebijaksanaan para pemain industri itu sendiri.

“Urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri, dengan kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,” kata Anwar.

Dalam pada itu, pentadbiran semasa kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi domestik terus dilindungi, terutamanya ketika dunia sedang berdepan dengan pelbagai pergolakan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran global yang mencabar.

“Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat sentiasa terjaga, serta ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang.”

SUMBER:TRT Global