ASIA
2 min membaca
Krisis bekalan global: Kadar kehilangan pekerjaan meningkat 8.4 peratus pada Mei
Bagaimanapun, perkembangan positif turut dikesan dalam pasaran guna tenaga negara apabila kadar penempatan pekerjaan menerusi portal MyFutureJobs menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 19 peratus.
Krisis bekalan global: Kadar kehilangan pekerjaan meningkat 8.4 peratus pada Mei
(FAIL) Landskap pasaran buruh Malaysia dilaporkan masih berada dalam keadaan stabil dan berdaya tahan. / Reuters

Isu gangguan bekalan global ekoran konflik yang berlarutan di Asia Barat mula memberi kesan terhadap pasaran buruh tempatan, lapor New Straits Times.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendedahkan angka kehilangan pekerjaan di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 8.4 peratus pada Mei dengan merekodkan 7,766 kes berbanding 7,162 kes pada April.

Bagaimanapun, perkembangan positif turut dikesan dalam pasaran guna tenaga negara apabila kadar penempatan pekerjaan menerusi portal MyFutureJobs menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 19 peratus.

Jumlah individu yang berjaya kembali bekerja meningkat kepada 14,366 orang pada Mei berbanding hanya 12,119 orang pada April.

“Berdasarkan data permohonan faedah di bawah sistem insurant pekerjaan, seramai 7,7766 orang pekerja telah direkodkan hilang pekerjaan untuk Mei 2026 berbanding 7,162 orang pekerja pada April 2026. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 604 orang ataupun 8.4 peratus,” kata Akmal.

Secara keseluruhannya, Akmal berkata landskap pasaran buruh negara masih berada dalam keadaan stabil dan berdaya tahan.

Pasukan tenaga kerja negara mencatatkan pertumbuhan kepada 17.33 juta orang, manakala kadar pengangguran kekal bertahan pada paras tiga peratus dengan majoriti besar daripada golongan menganggur tersebut masih aktif mencari pekerjaan.

“Walaupun terdapat sedikit peningkatan berbanding bulan sebelumnya, sebahagian besar penganggur iaitu 79.5 peratus masih aktif mencari pekerjaan,” kata Akmal.

Mengulas mengenai strategi mendepani cabaran ekonomi semasa, beliau berkata kerajaan memberi jaminan akan memantau rapat trend pemberhentian pekerja di samping memperkasakan usaha pemadanan kerjaya demi memastikan tenaga kerja tempatan yang terjejas dapat diserap semula ke dalam industri dengan kadar segera.

Menurutnya, kerajaan kekal komited untuk melindungi pekerjaan, memastikan industri terus beroperasi dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.