ASIA
2 min membaca
Malaysia sasar peluang perkhidmatan minyak dan gas RM6.1 bilion di Asia Barat
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek membaik pulih serta membina semula fasiliti minyak, gas dan petrokimia yang terjejas di Asia Barat dianggarkan menelan belanja yang besar, iaitu antara AS$42 bilion hingga AS$58 bilion.
Malaysia sasar peluang perkhidmatan minyak dan gas RM6.1 bilion di Asia Barat
Menurut Akmal, industri OGSE tempatan mempunyai asas yang kukuh untuk bersaing di peringkat antarabangsa. / Foto: FB Akmal Nasir / User Upload

Krisis yang melanda Asia Barat kini membuka lembaran baharu buat ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

Menurut laporan New Straits Times, kerajaan menganggarkan syarikat tempatan berpotensi meraih perolehan mencecah sehingga AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) menerusi usaha pembangunan semula di rantau berkenaan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek membaik pulih serta membina semula fasiliti minyak, gas dan petrokimia yang terjejas di Asia Barat dianggarkan menelan belanja yang besar, iaitu antara AS$42 bilion hingga AS$58 bilion.

“Ini merupakan peluang yang realistik untuk syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE), untuk mengembangkan pasaran mereka di peringkat global,” jelas beliau ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global pada Khamis.

Menurut Akmal, industri OGSE tempatan sememangnya mempunyai asas yang kukuh untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, sektor ini berjaya mencatatkan hasil RM94.5 bilion pada tahun lalu, termasuk menyumbang RM23 bilion dalam bentuk eksport serta menyediakan lebih 123,000 peluang pekerjaan kepada modal insan tempatan.

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, kerajaan komited memberi dokongan penuh melalui hubungan diplomatik dua hala bagi memudahkan urusan syarikat tempatan membida projek.

Pada masa yang sama, Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) ditugaskan untuk memperkukuh kapasiti pemain industri, selain menyelaraskan strategi menembusi pasaran luar negara dengan kerjasama MATRADE serta persatuan industri.

Mengulas lanjut mengenai geopolitik dunia semasa, Akmal menegaskan bahawa pendekatan Putrajaya kini adalah bersifat proaktif.

Katanya, kerajaan bukan sahaja fokus kepada pengurusan risiko akibat pergolakan global, malah sentiasa bersedia mengintai peluang keemasan yang muncul di sebalik krisis tersebut.

“Krisis ini membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh daya saing industri dan memperluas kehadiran di pasaran antarabangsa,” tambah beliau.