Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun terus diperkukuh menerusi pemeteraian empat Memorandum Kerjasama (MoC) strategik yang merangkumi sektor keselamatan maritim, kelestarian alam sekitar, pengurusan sisa pepejal serta penyelarasan peraturan peranti perubatan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen tinggi kerajaan agar kesemua memorandum yang dipersetujui itu segera diterjemahkan kepada tindakan drastik bagi memaksimumkan manfaat buat kedua-dua buah negara.
"Kita telah memeterai empat Memorandum Kerjasama yang telah diumumkan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk memastikan kita melaksanakannya," kata Anwar dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya dari Jepun, Sanae Takaichi semalam.
Selain empat dokumen utama tersebut, kedua-dua negara pemacu ekonomi Asia itu turut bertukar dua Surat Hasrat (LOI).
Langkah itu bagi memeterai kerjasama erat dalam aspek peralihan tenaga serta memperluas pertukaran akademik antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menyentuh dinamika serantau, Anwar menyuarakan penghargaan mendalam atas sokongan konsisten Tokyo terhadap kepimpinan Malaysia, khususnya ketika mengemudi blok ASEAN dalam mendepani pelbagai cabaran geopolitik semasa.
Kedua-dua pemimpin turut senada dalam membincangkan krisis Myanmar, dengan menegaskan sokongan penuh terhadap visi Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka demi menjamin kestabilan, kedamaian serta kemakmuran menyeluruh di rantau ini.













