PETRONAS secara rasmi memeterai perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang bersama syarikat penjanaan kuasa terbesar Jepun, Jera.
Menerusi perjanjian strategik ini, Malaysia bakal membekalkan sebanyak dua juta tan LNG setiap tahun kepada pasaran Jepun selama tempoh 20 tahun, bermula tahun 2028.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan pemeteraian kontrak itu sebagai satu lonjakan besar yang membuktikan hubungan utuh antara kedua-dua negara.
Jera merupakan penggerak utama kepada keselamatan tenaga pasaran Jepun dalam menguruskan bekalan LNG bagi operasi stesen janakuasa di negara matahari terbit itu.
"Perjanjian ini adalah satu pencapaian yang luar biasa dalam hubungan Malaysia-Jepun serta mencerminkan kepercayaan dan kerjasama erat yang sekian lama terjalin antara dua negara," kata Perdana Menteri dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi.
Selain isu peralihan tenaga, sidang tersebut turut memperluas kerjasama dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi semikonduktor, mineral kritikal, pertahanan serta rantaian bekalan yang berdaya tahan.
Kedua-dua negara juga bersetuju memperkukuh kerjasama kewangan melalui pengaturan swap dua hala serta meluaskan penggunaan mata wang tempatan ringgit dan yen.
Sementara itu, ketika berucap di Forum Nikkei ke-31, Anwar menegaskan pentingnya pakatan ASEAN untuk terus menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan semua kuasa besar dunia termasuk Jepun, Amerika Syarikat, China dan Rusia, tanpa perlu terperangkap dalam persaingan geopolitik.
"Adakah kita bersetuju dengan semua isu atau pendirian diambil Presiden Amerika Syarikat Donald Trump? Tidak. Dengan Rusia, semestinya kita mempunyai perbezaan, tetapi kita bekerjasama baik. Penglibatan bersama BRICS juga tidak bermakna Malaysia mengabaikan rakan kongsi tradisional seperti AS, yang kekal penting untuk perdagangan dan pelaburan," tegas beliau lagi.













