ASEAN dan Rusia memperbaharui komitmen untuk memperkukuh perkongsian strategik yang dibina sejak 35 tahun lalu berteraskan prinsip saling menghormati, persamaan kedaulatan dan kerjasama pelbagai hala, menurut laporan New Straits Times.
Komitmen tersebut dicapai semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 di Kazan, yang dipengerusikan bersama oleh Rusia dan Filipina selaku Pengerusi ASEAN.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. berkata hubungan yang bermula di Kuala Lumpur lebih tiga dekad lalu kini telah matang menjadi sebuah perkongsian yang memberikan impak serta manfaat nyata kepada kedua-dua belah pihak.
Beliau menggariskan tiga keutamaan strategik bagi memacu hubungan masa hadapan iaitu keselamatan, perkongsian ekonomi yang dinamik serta pengukuhan hubungan antara rakyat.
"Dalam era ketidaktentuan geopolitik yang semakin mendalam, nilai penglibatan politik dan keselamatan yang stabil antara ASEAN dan Rusia tidak boleh dipandang rendah.
“Ancaman rentas sempadan seperti keganasan, pemerdagangan haram, jenayah siber, dan penipuan dalam talian tidak mengenal sempadan, begitu juga dengan tindak balas kita," tegas Marcos dalam ucapan perasmiannya pada sesi plenari sidang kemuncak itu.
Dari segi ekonomi, Marcos menyeru agar fasilitasi perdagangan diperkasakan lagi bagi membuka potensi penuh pelaburan kedua-dua pihak, terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan dan tenaga.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan dalam bidang pendidikan, kebudayaan, dan pelancongan dengan meletakkan golongan muda sebagai penggerak utama masa depan hubungan ASEAN-Rusia.
"Ikatan yang terjalin sesama rakyat kita akan bertahan lebih lama daripada mana-mana hasil sidang kemuncak dan akan membawa perkongsian ini ke hadapan dengan cara yang tidak boleh dilakukan oleh dasar semata-mata," tambah Marcos.
Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin menegaskan bahawa hubungan Moscow dengan ASEAN sentiasa berpaksikan kepada undang-undang antarabangsa dan kepentingan bersama.
Beliau menyifatkan perkongsian strategik itu sebagai faktor penstabil utama di rantau Asia-Pasifik yang menyumbang kepada pembentukan seni bina keselamatan yang seimbang ketika dunia berdepan pergolakan geopolitik global.
"Hasil kerjasama kita sudah jelas. Kita telah mewujudkan kerangka undang-undang yang kukuh dan rangkaian mekanisme bersama yang luas.
“Platform dialog baharu telah dilancarkan, dan kerjasama praktikal telah berkembang dalam bidang seperti keselamatan, perdagangan, pelaburan, tenaga, pertanian, pendigitalan, sains dan teknologi, serta pelancongan," ujar Putin.



















