Rusia memberi jaminan untuk membekalkan petrol, minyak dan gas kepada Malaysia bagi jangka masa panjang, menurut laporan Berita Harian.
Langkah strategik ini bakal memperkukuh sekuriti tenaga negara tanpa perlu lagi bergantung kepada perjanjian bermusim atau tahunan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata persetujuan secara prinsip itu dicapai susulan rundingan dua hala yang produktif.
Menurut beliau, draf perjanjian komoditi strategik berkenaan kini hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan serta dimeterai sepenuhnya oleh kedua-kedua pihak.
"Ini berita yang amat baik dari Rusia kerana mereka memberi jaminan bekalan petrol, minyak dan gas untuk kita. Bukan itu sahaja, mereka bersetuju menyediakannya untuk jangka panjang.
“Maknanya rakyat Malaysia mendapat jaminan bekalan yang stabil, tidak terpaksa bergantung setiap tahun atau setiap musim, sebaliknya ada persediaan kukuh melalui memorandum perjanjian ini," katanya pada sidang media penutup Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia.
Mengulas mengenai tempoh pelaksanaan, Anwar menjelaskan perbincangan teknikal peringkat awal sudah pun berjalan lancar membabitkan kehadiran wakil-wakil syarikat berkaitan ke Malaysia.
Sebaik pulang ke tanah air, beliau akan meminta pihak berkenaan menyegerakan proses penelitian draf sebelum delegasi rasmi menandatanganinya.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas sokongan padu Moscow dalam memperkasakan kerjasama sektor tenaga, khususnya membabitkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Hubungan dua hala itu kini berkembang pesat merangkumi portfolio perdagangan, pelaburan, sistem kewangan, serta industri ekonomi halal global.
Menyentuh kedudukan bekalan domestik, Anwar memberi jaminan bahawa pasaran bekalan Malaysia berada pada tahap yang sangat stabil dan terkawal, malah mencatatkan sedikit lebihan bagi bekalan diesel.
"Kelebihan stok ini turut membolehkan kita membantu negara jiran yang memerlukan seperti Timor-Leste, jadi rakyat tidak perlu bimbang," tambah beliau lagi.















