Rusia dan Malaysia kini berada di kedudukan terbaik untuk memperdalam hubungan dua hala, disokong oleh asas kukuh yang telah dibina menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun hadapan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di sela-sela Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan.
Putin menegaskan bahawa detik bersejarah ini hadir bersama "pengalaman positif yang substantif" dalam penglibatan dua hala.
Beliau turut menarik perhatian kepada pertumbuhan perdagangan dua hala yang mencatatkan peningkatan sebanyak 12.9 peratus pada tahun 2025, selain komitmen tinggi Rusia dalam memperkukuh kerjasama sektor pendidikan, sains, teknologi, pelancongan dan kemanusiaan.
"Tahun depan menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara negara kita. Kita menghampiri tarikh ini dengan pengalaman positif substantif dalam kerjasama serta penyelarasan serius ke arah pengembangan lanjut," kata Putin bagi menggambarkan keakraban hubungan Moscow-Kuala Lumpur.
Menurut beliau, kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan yang kerap melalui kementerian, agensi dan parlimen.
Segala projek membabitkan ekonomi, saintifik, teknikal, dan budaya pula dipantau secara rapi oleh sebuah suruhanjaya antara kerajaan bagi memastikan kelancarannya.
Putin turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia dalam memperkukuh perkongsian strategik Rusia-ASEAN, sambil mengimbas kembali detik bersejarah sidang kemuncak peringkat tinggi pertama yang pernah dihoskan oleh Malaysia pada tahun 2005.
Beliau menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi lama yang sentiasa meletakkan rasa hormat dan kepentingan bersama sebagai teras hubungan.



















