Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan aturan perjalanan tanpa visa bagi pelancong Rusia ke Malaysia perlu disegerakan, lapor Berita Harian.
Langkah drastik itu katanya penting bagi mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan negara.
Anwar mendedahkan wujud jurang perbezaan yang ketara apabila Rusia merekodkan lima juta pelancong setahun ke Türkiye dan dua juta ke Thailand, namun Malaysia hanya menerima sekitar 100,000 pelancong dari negara tersebut ekoran kekangan prosedur lapuk dan isu sistem pembayaran.
"Kenapa perkara ini berlaku tidak kepada Türkiye? Mereka adalah anggota NATO, dan mereka juga mempunyai hubungan yang baik dengan Eropah dan Amerika Syarikat. Thailand pula terus dapat mengekalkan hubungan yang baik.
“Kenapa perkara ini tidak berlaku kepada Malaysia, dan kita pula tidak memberikan kemudahan yang sewajarnya kepada Rusia atau Iran, dalam hal ini?" katanya dalam sidang media penutup Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebuah negara merdeka yang memegang prinsip kepusatan ASEAN, Malaysia tidak sewajarnya tunduk atau terlalu bimbang dengan sekatan unilateral yang dikenakan oleh negara-negara tertentu terhadap Rusia.
"Kita adalah sebuah negara merdeka... Sudah tentu kita tahu sensitiviti itu. Kita tidak akan melanggar apa yang dinyatakan atau apa yang telah dipersetujui.
“Jika ia adalah sekatan antarabangsa yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ya kita patuh. Tetapi kita tidak sepatutnya terlalu bimbang terhadap sekatan unilateral yang dikenakan oleh sesetengah negara," jelas beliau lagi.
Bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan kadar segera, Anwar memaklumkan beliau sudah berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir untuk membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet akan datang bagi dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.















