Perdana Menteri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada bintang filem yang kini bergelar ahli politik, C. Joseph Vijay, atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan kemenangan Vijay sebagai detik bersejarah dan menyatakan bahawa rakyat Tamil Nadu telah meletakkan kepercayaan besar kepada pelakon tersebut.
Beliau turut mengaitkan mandat itu dengan watak-watak yang pernah dimainkan Vijay di layar perak sebelum ini.
"Selama bertahun-tahun, peminat setia menyaksikan beliau menumpaskan ahli politik korup dan pelbagai watak jahat dalam tempoh tiga jam. Rakyat Tamil Nadu kini telah memberi kepercayaan kepada Vijay dengan tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana peranan yang pernah dimainkannya di skrin," kata Anwar.
Menyentuh slogan politik Vijay, Anwar berkata 'Oru Viral Puratchi' atau revolusi satu jari kini berada di ambang mencipta sejarah.
Beliau turut menekankan hubungan erat antara Malaysia dan Tamil Nadu yang berkongsi ikatan sejarah, budaya dan hubungan antara rakyat yang mendalam merentasi generasi.
Dalam pada itu, Vijay turut menzahirkan rasa terima kasih atas ucapan tersebut dan menyatakan komitmennya untuk membina hubungan yang lebih akrab dengan Malaysia.
Beliau menyifatkan ucapan daripada pemimpin Malaysia itu sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.
"Terima kasih atas isyarat murni anda. Saya komited untuk memupuk kerjasama yang lebih besar dan memperkukuh ikatan persahabatan antara Tamil Nadu dan Malaysia," kata Vijay menerusi hantaran di laman X pada Selasa.
Vijay, 51, telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada Ahad susulan kemenangan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada April lalu.


















