Trans Thai-Malaysia (Thailand) Limited (TTM), usaha sama PTT dan PETRONAS, menghentikan sementara operasi Saluran Paip Eksport Songkhla selepas mengenal pasti satu isu ketika pemeriksaan rutin.
PETRONAS dalam kenyataan pada 1 Oktober berkata penutupan itu merupakan langkah berjaga-jaga bagi melindungi integriti saluran paip dan memastikan operasi selamat. Kenyataan itu tidak memperincikan isu yang ditemui.
Syarikat itu mengakui langkah tersebut mungkin menjejaskan bekalan gas kepada pelanggan di Malaysia dan Thailand, namun tindakan proaktif sedang diambil untuk memastikan kesinambungan bekalan kepada pelanggan di Malaysia.
“Rangkaian bekalan bersepadu PETRONAS menyediakan fleksibiliti untuk mengekalkan bekalan, dan syarikat sedang bekerjasama rapat dengan rakan niaga serta pelanggan bagi mengekalkan kestabilan sistem,” menurut kenyataan itu.
“Saluran paip itu hanya akan kembali beroperasi setelah disahkan selamat,” katanya.
PETRONAS turut menegaskan komitmen terhadap keselamatan operasi dan kebolehpercayaan bekalan domestik bagi menyokong keselamatan tenaga Malaysia.


















