DUNIA
1 min membaca
Malaysia, Qatar gesa perang di Asia Barat dihentikan
Kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan rundingan damai, penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang melibatkan Iran.
Malaysia, Qatar gesa perang di Asia Barat dihentikan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. / Facebook/Anwar Ibrahim

Malaysia dan Qatar senada bahawa perang di Asia Barat mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan usaha damai diperkukuh bagi menamatkan penderitaan rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pendirian itu dikongsi dalam perbualan telefon bersama Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada Rabu.

Kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan rundingan damai, penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang melibatkan Iran.

“Kami senada bahawa perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan segala ikhtiar damai diperkukuh demi menghentikan penderitaan rakyat,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.

“Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar dan rakan serantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan,” katanya, sambil menzahirkan harapan agar hubungan kedua-dua negara terus berkembang, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

Dalam perbualan itu, Sheikh Tamim turut menyampaikan takziah atas pemergian abang Anwar, Idrus Ibrahim, serta menitipkan salam takziah kepada mantan perdana menteri Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Siti Hasmah Mohamad Ali.

Anwar juga merakamkan penghargaan atas undangan Sheikha Moza kepada isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).

SUMBER:TRT Global