SpaceX menyumbangkan 50 unit kit Starlink bagi menyokong kesiapsiagaan bencana Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan delegasi syarikat itu di Putrajaya.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama menerusi perkhidmatan internet satelit Starlink untuk meluaskan capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman.
Anwar menyuarakan penghargaan terhadap peranan Starlink dalam menyokong usaha kerajaan menerusi JENDELA bagi meningkatkan liputan dan mutu internet, termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung.
“Saya turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya bagi melancarkan trafik data tempatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan peluasan capaian internet perlu disertai langkah melindungi pengguna.
“Seiring peluasan capaian internet, keselamatan siber, perlindungan data serta penggunaan internet yang selamat mesti terus diberi keutamaan,” katanya.
“Kita mahu memastikan masyarakat di pedalaman turut menikmati capaian internet yang berkualiti dan selamat agar mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara,” kata Anwar.






















