Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membincangkan peluang memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Arab Saudi ketika menerima kunjungan Gabenor Public Investment Fund (PIF), Yasir Othman Al-Rumayyan, bersama delegasinya.
“Kami bertukar pandangan tentang peluang memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia–Arab Saudi, khususnya dalam sektor pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Menurut beliau, PIF merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar dunia dengan aset di bawah pengurusan melebihi AS$900 bilion.
Peranannya sebagai pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi turut membuka ruang kerjasama dengan rakan antarabangsa.
Anwar berkata syarikat milik penuh PIF, RUA AlHaram AlMakki, sedang meneroka kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi pembangunan berorientasikan transit di Jabal Al Kaabah, Makkah.
RUA juga merupakan pemaju induk pembangunan King Salman Gate di kota suci itu.
“Potensi kerjasama ini adalah manifestasi keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia, di samping membuka peluang baharu kepada perniagaan dan tenaga mahir kita,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat menembusi pasaran Arab Saudi serta menyertai projek yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.






















