Seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang terputus hubungan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dilaporkan ditemui selamat dan telah kembali ke tanah air, menurut wakil keluarga mangsa yang memberitahu New Straits Times.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam, berkata Wisma Putra memaklumkan perkembangan itu kepada ahli keluarga menerusi kumpulan WhatsApp rasmi.
Lelaki berkenaan dilaporkan tiba di Malaysia pagi ini dan bertemu semula dengan keluarganya selepas 37 hari tanpa kepastian mengenai nasibnya.
“Kami amat gembira dan bersyukur bahawa seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini hilang kini ditemukan selamat dan kembali kepada keluarganya,” katanya kepada New Straits Times.
Beliau turut menghubungi anak kepada lelaki berkenaan untuk mengesahkan identiti serta mendapatkan maklumat lanjut.
Jurucakap Kedutaan Malaysia di Kathmandu mengesahkan seorang lelaki hadir di kedutaan pada Rabu.
“Individu itu datang ke kedutaan pada Rabu dan memaklumkan kepada kami bahawa beliau seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang disenaraikan hilang susulan banjir pada 26 Ogos,” katanya.
Menurut Manivannan, berdasarkan komunikasi dengan waris, lelaki yang mengembara bersendirian itu berada di Nagthali Viewpoint pada 25 Ogos, sehari sebelum bencana.
Beliau terkandas akibat kerosakan jalan dan jambatan serta ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses Wi-Fi sebelum berjaya menuju ke kedutaan.
Seramai 55 rakyat Malaysia disenaraikan sebagai tidak dapat dihubungi selepas banjir kilat besar dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa pada 26 Ogos, termasuk kawasan sepanjang sempadan Nepal-Tibet.


















