Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyambut baik peranan Pakistan dalam mengusahakan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran semasa perbualan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
“Saya merakamkan penghargaan atas peranan Pakistan dalam mengusahakan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran, serta menegaskan bahawa ruang dialog dan diplomasi mesti terus diperkukuh bagi meredakan ketegangan dan membuka jalan kepada keamanan yang berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar turut berharap kunjungan Ketua Tentera Pakistan Asim Munir ke Malaysia dapat direalisasikan selepas beberapa kali tertangguh.
Beliau mengalu-alukan kedatangan Asim pada masa yang bersesuaian tanpa perlu terikat kepada aturan protokol rasmi.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan urusan eksport daging, yang akan disusuli delegasi masing-masing bagi memperluas kerjasama.
“Persahabatan Malaysia dan Pakistan harus terus diterjemahkan kepada ikhtiar yang membawa manfaat nyata buat rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar.
Dalam perbualan itu, Shehbaz turut menyampaikan takziah atas pemergian abang Anwar, Idrus Ibrahim, serta menitipkan salam takziah kepada mantan perdana menteri Mahathir Mohamad atas pemergian isterinya, Hasmah Mohamad Ali.


















