Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin di Kazan bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik.
Ini termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga serta penggunaan mata wang tempatan — Ringgit dan Ruble — bagi memudah cara urusan perdagangan dan pelaburan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden, farmaseutikal serta usaha pemansuhan visa bagi memudahkan pergerakan rakyat.
"Saya menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak," kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikongsi di laman Facebook beliau.
Pada masa sama, Anwar juga memuji pendirian konsisten Putin berhubung isu Gaza dan Iran.
Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara demi kepentingan rakyat.
Sementara itu, ketika berucap di Forum Perniagaan Rusia-ASEAN sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, Anwar menekankan kepentingan memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan makanan, tenaga, dan teknologi digital.
Beliau memetik bait kata penyair agung Tatarstan, Abdullah Tukay: "Only in serving the people do I admit true happiness," sebagai peringatan bahawa matlamat utama setiap dasar ekonomi adalah demi kesejahteraan rakyat.
Anwar turut menyambut baik pembangunan Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026–2035 yang bakal memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN akan terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan inklusif dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global.
"Segala persefahaman yang dicapai mesti diterjemahkan kepada tindakan yang menjana peluang, mencipta kemakmuran dan membawa manfaat nyata kepada rakyat," ujar beliau.
Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Kazan, ibu kota Tatarstan, merupakan sebahagian daripada usaha proaktif Malaysia dalam memperkukuh diplomasi antarabangsa dan daya tahan ekonomi serantau.


















