Taiwan mengesahkan bahawa ia telah menggantung rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia pada bulan lalu susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
Akhbar United Daily News melaporkan jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedaulatan negara dan keselamatan ekonomi pulau berkenaan, selain melindungi kepentingan pelabur Taiwan.
Hsiao mengulas laporan Nikkie Asia yang menyatakan Taiwan telah membatalkan rundingan perdagangan dua hala dengan Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Oktober.
Menurut beliau, kementerian itu sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan Anwar pada Ogos yang disifatkan sebagai “tidak mesra”, serta memberi amaran bahawa ia boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia dan meningkatkan risiko perniagaan mereka.
Hsiao berkata Taiwan mengambil langkah menggantung sementara rundingan pelaburan tersebut bagi melindungi pelaburnya, namun terus berhubung dengan Kuala Lumpur bagi mewujudkan keadaan yang lebih kondusif untuk menyambung semula rundingan pada masa hadapan.
Laporan Nikkie Asia turut menyatakan ketegangan diplomatik antara kedua-dua pihak berpotensi menjejaskan pelaburan masa depan Taiwan di Malaysia, khususnya dalam industri semikonduktor.
Laporan itu memetik sumber kerajaan Malaysia yang mendakwa rundingan bagi memperluas kerjasama perdagangan dua hala yang dijadualkan pada penghujung Oktober telah ditangguhkan susulan kenyataan Anwar.
Anwar mencetuskan kontroversi ketika wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos apabila beliau menyatakan bahawa Taiwan dianggap sebagai sebahagian daripada China.
Dalam wawancara tersebut, beliau menyatakan sokongan terhadap dasar Satu China serta menegaskan bahawa faktor sejarah perlu diambil kira dalam memahami hubungan antara Taiwan dan China.
Anwar turut berkata bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China dan isu berkenaan seharusnya diserahkan kepada rakyat China untuk menentukannya.





















