Pihak berkuasa tentera Myanmar telah mula membebaskan warga etnik Rakhine yang dihantar pulang dari Malaysia selepas Putrajaya memohon penjelasan berhubung laporan penahanan mereka.
Menurut laporan The Irrawaddy, proses pembebasan bermula dua hari selepas Menteri Luar, Mohamad Hasan menjawab pertanyaan di Parlimen mengenai situasi mereka yang dihantar pulang.
Memetik Persatuan Belia Khamee Unity dan testimoni seorang individu yang dibebaskan, laporan itu menyebut tahanan yang mempunyai dokumen pengenalan dibenarkan pulang ke rumah.
"Adik lelaki saya baru dibebaskan semalam," kata seorang lelaki Khamee yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.
"Saya pun tidak tahu dia antara yang dibebaskan," katanya, sambil menambah adiknya dibebaskan selepas keluarga mengemukakan dokumentasi yang diperlukan.
The Irrawaddy melaporkan lebih 400 etnik Rakhine antara hampir 1,500 warga Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia pada akhir September.
Walaupun individu lain yang dihantar pulang dibenarkan pulang sebaik tiba, etnik Rakhine dilaporkan ditahan untuk disoal siasat di fasiliti tahanan tentera di daerah Thanlyin dan Hlaingthayar, Yangon.
Persatuan itu berkata 26 individu Khamee antara yang ditahan.
Pada 26 Oktober, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan mendapatkan penjelasan daripada Myanmar berhubung dakwaan kira-kira 300 individu yang dihantar pulang masih ditahan tentera, dan mengarahkan chargé d'affaires untuk menyiasat keadaan mereka.
Mohamad berkata penghantaran pulang itu dilakukan secara sukarela dan Myanmar telah memberi jaminan mengenai keselamatan mereka yang dihantar pulang.
Program itu dirancang untuk menghantar pulang 5,000 warga Myanmar secara berperingkat.























