Perancangan dan pembangunan bandar tidak seharusnya mengetepikan nilai kemanusiaan serta kebajikan rakyat, sebaliknya perlu dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan menyeluruh dan berteraskan insan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kecekapan dan prestasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) wajar dijadikan contoh dalam usaha memperkukuh perancangan bandar agar tidak hanya tertumpu kepada kemegahan struktur fizikal semata-mata.
Menurut beliau, pembangunan fizikal dan perancangan bandar perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana ia melibatkan aspek kehidupan masyarakat, kemanusiaan, kepercayaan agama, nilai serta moral.
“Apabila kita bercakap mengenai perancangan fizikal dan bandar, kita sebenarnya bercakap tentang kehidupan, kemanusiaan serta perkara yang berkait rapat dengan pegangan agama, nilai dan moral.
“Kadangkala kita pergi bekerja dan pulang ke rumah sehingga terlupa bahawa pembangunan bandar pada hakikatnya ialah pembangunan insan, termasuk memperkukuh keimanan dan moral supaya prinsip kemanusiaan terus menjadi teras utama,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta melancarkan Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) pada Rabu.
Anwar berkata usaha memperbanyakkan kawasan hijau dalam perancangan bandar, di samping memastikan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi, terus menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani kerajaan.
Beliau turut membangkitkan isu banjir yang sering menjejaskan kawasan pinggir bandar, dengan golongan berpendapatan rendah menjadi antara pihak yang paling terkesan akibat bencana tersebut.
“Jika dilihat kepada kesan banjir, kawasan pinggir bandar lazimnya menerima impak paling besar, manakala golongan miskin menanggung beban yang lebih berat.
“Ambil contoh negeri seperti Kelantan dan Terengganu. Walaupun saya sedar wujud perbezaan politik, perkara itu tidak menghalang komitmen saya untuk menyelesaikan masalah rakyat, termasuk isu banjir menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir,” katanya.
















