Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara susulan perkembangan konflik geopolitik serta ancaman keselamatan global, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Katanya, langkah kesiapsiagaan negara itu antara lain termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.
Beliau berkata kerajaan ambil serius perkembangan itu dan telah mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin bagi meneliti tahap kesiapsiagaan segara serta keupayaan mekanisme sedia ada dalam mendepani krisis dan ancaman hibrid.
“Hasil perbincangan tersebut, kerajaan berpandangan bahawa mekanisme pengurusan keselamatan dan krisis negara sedia ada perlu terus diperkukuh, khususnya dari segi penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan kejelasan peranan setiap pihak.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tanpa pertindihan tanggungjawab atau kelewatan dalam membuat keputusan,” jelas Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Jelasnya lagi, kerajaan akan memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi melalui peningkatan kerjasama serta perkongsian maklumat serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai ancaman menerusi latihan dan simulasi berkala.
Selain itu, memperkukuh perlindungan infrastruktur dan sektor strategik negara termasuk tenaga, telekomunikasi, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan, serta meningkatkan kesiapsiagaan rakyat melalui program pendidikan, latihan pengurusan krisis dan penyediaan panduan asas kesiapsiagaan isi rumah bagi menghadapi kecemasan.
Usaha itu merangkumi pengukuhan keupayaan agensi keselamatan dan pengurusan krisis menerusi pembangunan kepakaran, latihan, pengukuhan krisis menerusi pembangunan kepakaran, latihan, pengukuhan aset dan penggunaan teknologi bersesuaian.
“Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan mempengerusikan mesyuarat bersama semua jabatan berkaitan pada Selasa, dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan sidang khas dengan semua institusi kewangan dalam negara.
"Pendekatan ini mengambil iktibar daripada Strategi Kesatuan Kesiapsiagaan Kesatuan Eropah yang menggembleng jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum," ujarnya.
Beliau turut mendedahkan beberapa negara luar termasuk Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun sudah mengeluarkan arahan serta nasihat kepada warganegara masing-masing supaya menyimpan bekalan makanan asas untuk tempoh tiga hingga 10 hari.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa memberikan perhatian serius terhadap sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara termasuk warganegara Malaysia yang berada di luar negara.





















