Malaysia merupakan antara negara yang dianggap berpotensi menjadi sasaran serangan siber, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun tidak semua maklumat boleh didedahkan kepada umum, keupayaan digital negara serta pendiriannya terhadap beberapa isu antarabangsa, khususnya Gaza, telah meletakkan Malaysia dalam tumpuan pihak tertentu.
“Malaysia sememangnya antara negara yang dianggap sebagai sasaran,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai sama ada Malaysia dikenal pasti sebagai sasaran berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh serta tahap ancaman yang dihadapi negara.
Menurut beliau, kerajaan memandang serius perkembangan tersebut dan sedang mempergiat langkah penyelarasan antara agensi berkaitan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara.
Dalam usaha mempertingkat respons terhadap ancaman siber, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan-jabatan berkaitan.
Pada masa sama, Gabenor Bank Negara Malaysia akan mengadakan sesi khas bersama institusi kewangan bagi menilai tahap kesiapsiagaan sektor kewangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman siber.
Anwar turut mencadangkan supaya Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengadakan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari akan datang.
Beliau berkata taklimat tersebut penting bagi memastikan wakil rakyat memahami tahap risiko semasa serta langkah-langkah yang sedang diambil kerajaan untuk melindungi keselamatan siber negara.
Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan turut mengambil perhatian terhadap tindakan beberapa negara, termasuk Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun, yang menasihati rakyat masing-masing supaya menyimpan bekalan makanan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan situasi kecemasan.


















