Semua kementerian dan agensi kerajaan diarahkan menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) bagi memastikan fungsi kritikal kerajaan terus beroperasi sekiranya kemudahan penting negara mengalami gangguan.
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan negara ketika berdepan ketidaktentuan global dan konflik kepentingan.
Penilaian risiko kini turut merangkumi ancaman bukan konvensional seperti serangan siber, sabotaj, penyebaran maklumat palsu dan gangguan rantaian bekalan.
“Keputusan juga dibuat supaya semua kementerian dan agensi kerajaan perlu menyemak semula BCP masing-masing supaya fungsi penting kerajaan dapat diteruskan sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap sistem komunikasi, tenaga, pengangkutan atau kemudahan kritikal,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kementerian turut diarahkan memperkukuh penyelarasan antara agensi, meningkatkan perkongsian maklumat dan memperjelas tanggungjawab setiap pihak supaya tindakan segera dapat diambil ketika berdepan ancaman.
“Keselamatan menyeluruh dari semua aspek diberi perhatian serius, dan setiap implikasi serta risiko terhadap keselamatan negara, kepentingan sektor strategik dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan tertinggi kerajaan,” kata Shamsul Azri.
Langkah itu menyusuli kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam mengenai usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman siber dan ketegangan geopolitik, termasuk memastikan bekalan makanan, air serta tenaga mencukupi.
Menurut Anwar, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara turut membincangkan penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan.



















