Sektor pembuatan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan pada Oktober, dengan pengeluaran dan pesanan baharu yang meningkat, sekali gus menandakan pemulihan sektor pembuatan negara, menurut data terbaharu Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P Global.
"Pertumbuhan pesanan baharu adalah kukuh dan disokong oleh peningkatan berterusan permintaan antarabangsa terhadap barangan buatan Malaysia. Aliran masuk kerja baharu yang lebih tinggi seterusnya menyokong pengembangan semula pengeluaran. Hasilnya, firma meningkatkan aktiviti pembelian, dan pertumbuhan pekerjaan dikekalkan," menurut kenyataan S&P Global pada Isnin, seperti dipetik laporan The Edge.
Meskipun permintaan dan pengeluaran meningkat, keyakinan perniagaan jatuh ke paras terendah dalam tempoh enam bulan, manakala kos input dan caj pengeluaran meningkat pada kadar lebih pantas pada Oktober.
Indeks PMI Pembuatan Malaysia S&P Global yang diselaraskan secara bermusim meningkat kepada 51.0 pada Oktober berbanding 49.9 pada September yang berada pada paras neutral, sekali gus memasuki zon pertumbuhan.
Kesihatan sektor itu bertambah baik dalam empat daripada lima tempoh tinjauan terakhir, dengan peningkatan sederhana terbaharu itu merupakan yang paling ketara sejak April.
Bacaan itu menandakan pertumbuhan berterusan dalam pengeluaran perindustrian dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku akhir tahun ini.
Pengeluaran dan tempahan baharu meningkat serentak pada Oktober, dengan pertumbuhan pesanan baharu antara yang terpantas dalam tempoh empat setengah tahun.
Pengeluaran berkembang buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, sebahagiannya dipenuhi daripada stok barangan siap, yang susut untuk bulan keenam berturut-turut.
Firma meningkatkan kapasiti, menandakan pertumbuhan pekerjaan untuk bulan ketiga berturut-turut dan aktiviti pembelian yang lebih tinggi. Kelewatan input berterusan untuk bulan ke-11, sebahagiannya disebabkan kesesakan di pelabuhan.



















