ASIA
1 min membaca
Kerajaan teliti tiga sistem peluru berpandu selepas permit eksport NSM dibatalkan
Kementerian Pertahanan sedang meneliti tiga sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) selepas kerajaan Norway membatalkan permit eksport sistem berkenaan.
Kerajaan teliti tiga sistem peluru berpandu selepas permit eksport NSM dibatalkan
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pemilihan sistem berkenaan akan mengambil kira keperluan operasi semasa / Foto: FB Khaled Nordin

Kementerian Pertahanan kini berada pada peringkat akhir penilaian tiga opsyen sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) susulan pembatalan permit eksport Naval Strike Missile (NSM) oleh kerajaan Norway.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pemilihan sistem berkenaan akan mengambil kira keperluan operasi semasa, keserasian integrasi dengan aset kapal tentera laut, kos perolehan serta tempoh pelaksanaan projek.

Menurut Khaled, keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas satu pilihan dipersetujui dan perjanjian perolehan dimeterai.

“Kepastian mengenai sistem yang akan dipilih hanya dapat ditentukan setelah persetujuan dicapai terhadap salah satu pilihan dan perjanjian perolehan ditandatangani,” menurut Khaled dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled memaklumkan kemajuan fizikal keseluruhan pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencapai 80.72 peratus setakat 25 September lalu.

Angka itu menunjukkan varians kelewatan sebanyak 9.19 peratus berbanding sasaran asal iaitu 89.91 peratus bagi tempoh yang sama.

Menurut Khaled, jadual penghantaran terkini yang dijamin kontraktor Lumut Naval Shipyard (LUNAS) menetapkan LCS pertama akan diserahkan pada April 2027, diikuti kapal kedua pada Ogos 2027 dan kapal ketiga pada Disember tahun yang sama.

Sementara itu, LCS keempat dijadualkan diserahkan pada Ogos 2028, manakala kapal kelima dijangka siap dan diserahkan pada April 2029.

SUMBER:TRT Global