Malaysia bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan kemudahan AS$100 juta oleh Maldives, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Monetari Maldives (MMA) akan memperincikan mekanisme serta mempercepat pelaksanaannya.
Persetujuan itu disuarakan susulan permintaan MMA ketika lawatan rasmi dua hari Anwar ke Maldives atas jemputan Presiden Mohamed Muizzu.
“Kita pada dasarnya telah bersetuju untuk menyokong perkara ini walaupun kedua-dua bank pusat dan MMA perlu bekerjasama secepat mungkin berhubung mekanisme serta proses bagi memastikan perjanjian itu dapat dimuktamadkan dalam tempoh paling singkat,” katanya dalam kenyataan media bersama semasa pertemuan mereka di Malé.
Anwar berkata kedua-dua bank pusat akan bekerjasama memuktamadkan mekanisme dan proses kemudahan itu secepat mungkin.
“Perkara ini hanya boleh dilakukan berdasarkan kepercayaan dan persahabatan,” katanya, merujuk hubungan erat Malaysia dan Maldives.
Pada majlis jamuan rasmi bagi meraikan lawatannya, Anwar berkata beliau sudah berbincang dengan Gabenor BNM untuk mempercepatkan proses berkenaan.
“Ini sebenarnya jenis pinjaman mudah, tetapi dilakukan melalui BNM dan badan kewangan. Jadi soal syarat-syarat, prinsip itu masih diteliti oleh kedua-dua bank, walaupun pada dasarnya kita tidak ada masalah dengan rekod pembayaran mereka dan juga kerjasama dan jaminan kerajaan yang mesti ada,” katanya kepada media Malaysia seperti dipetik BERNAMA
Muizzu turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan Malaysia mempertimbangkan kemudahan tersebut.
“Saya amat berterima kasih atas keputusan anda untuk mempertimbangkan pemberian kemudahan swap mata wang kepada Maldives,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 200 pemimpin korporat dan diplomat.
Kemudahan yang dicadangkan itu merupakan antara isu ekonomi dua hala yang dijangka ditindaklanjuti menerusi Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives.
Anwar mencadangkan suruhanjaya itu bersidang di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.






















