ASIA
2 min membaca
Belanjawan 2027: Kerajaan teliti cadangan lebih RM280 juta tanam semula sawit
Perdana Menteri berkata langkah itu bertujuan memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta memperkukuh daya tahan sektor berkenaan.
Belanjawan 2027: Kerajaan teliti cadangan lebih RM280 juta tanam semula sawit
(FAIL) Kerajaan sedang meneliti cadangan peruntukan RM280 juta bagi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit. / Reuters

Kerajaan sedang meneliti cadangan peruntukan RM280.03 juta bagi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 sebagai antara inisiatif utama dalam Belanjawan 2027, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti dipetik Berita Harian.

Anwar berkata langkah itu bertujuan memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta memperkukuh daya tahan sektor berkenaan.

“Ini tambahan beberapa perkara yang kita sedang kaji dalam inisiatif utama di bawah Belanjawan 2027,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Putrajaya pada Selasa.

Antara cadangan lain ialah RM100 juta bagi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian, RM28.57 juta untuk Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi serta RM17.05 juta bagi memperkasa usahawan hiliran.

Kerajaan juga bercadang meneruskan Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit.

Anwar berkata kerajaan sejak 2024 turut menambah baik bantuan tanaman semula sawit daripada pembiayaan 100 peratus pinjaman kepada kaedah hibrid melibatkan 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman mudah pada kadar serendah dua peratus.

Peruntukan penyelenggaraan jalan ladang pula dinaikkan daripada RM8 juta pada 2022 kepada RM50 juta tahun ini.

“Setakat September 2026, seramai 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf menerima bantuan tunai BUDI Agrikomoditi sebanyak RM400 sebulan,” katanya.