ASIA
2 min membaca
El Niño tingkat risiko inflasi ASEAN, Malaysia berdepan tekanan harga makanan
Filipina dikenal pasti sebagai ekonomi paling berisiko, diikuti India dan Thailand, manakala Malaysia dan Vietnam berada dalam kategori risiko sederhana.
El Niño tingkat risiko inflasi ASEAN, Malaysia berdepan tekanan harga makanan
(FAIL) Bagi Malaysia, risiko utama berpunca daripada kenaikan harga makanan dan kebergantungan kepada import, khususnya beras. / AFP

Fenomena El Niño dijangka meningkatkan risiko inflasi makanan di negara-negara ASEAN dan India, namun Malaysia tidak terlalu terdedah kepada risiko kecuali melibatkan sektor tertentu, menurut OCBC Global Markets Research.

Dalam laporan bertarikh 9 September, OCBC berkata El Niño dijangka memberi kesan lebih besar terhadap inflasi berbanding pertumbuhan ekonomi, di mana harga beras, gandum, jagung dan minyak sayuran paling terdedah kepada gangguan bekalan akibat cuaca.

Filipina dikenal pasti sebagai ekonomi paling berisiko, diikuti India dan Thailand, manakala Malaysia dan Vietnam berada dalam kategori risiko sederhana.

Bagi Malaysia, risiko utama berpunca daripada kenaikan harga makanan dan kebergantungan kepada import, khususnya beras.

“El Niño mengukuhkan keperluan untuk pendekatan dasar monetari yang berhati-hati,” kata OCBC seperti dipetik laporan Business Today.

Stok beras Malaysia dianggarkan sebanyak 292,000 tan, bersamaan kira-kira 34 hari penggunaan, berdasarkan data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) yang dipetik dalam laporan itu.

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport utama minyak sawit dijangka membantu mengimbangi sebahagian tekanan terhadap bil import makanan.

OCBC menjangkakan harga purata minyak sawit mentah meningkat kepada RM4,450 satu tan pada 2026 berbanding RM4,280 tahun lalu, dengan risiko harga cenderung untuk meningkat lebih tinggi.

OCBC berkata kesan langsung El Niño terhadap pertumbuhan pula dijangka lebih tertumpu kepada sektor pertanian melalui pengurangan hujan, hasil tanaman lebih rendah dan penyusutan paras takungan air.

Namun, kesannya boleh menjadi lebih serius sekiranya kemarau berpanjangan sehingga menjejaskan penjanaan elektrik, bekalan air dan rantaian bekalan.

Tekanan inflasi makanan yang berterusan juga boleh mempengaruhi dasar monetari.

OCBC menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia kekal pada 2.75 peratus sehingga akhir 2026 sebelum meningkat kepada 3.00 peratus pada 2027, ketika bank pusat serantau berdepan risiko harga yang semakin meningkat.