Malaysia dilaporkan sedang mempertimbangkan penggunaan cip kecerdasan buatan (AI) Huawei sebagai tulang belakang projek AI berdaulat bernilai RM2 bilion, walaupun Amerika Syarikat sebelum ini memberi amaran mengenai penggunaan teknologi berkenaan.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, kerajaan Malaysia sedang menilai cip Huawei Ascend 910C bagi projek yang bertujuan memberi Malaysia kawalan lebih besar terhadap data negara, termasuk memastikan maklumat sensitif kerajaan kekal disimpan dalam negara.
Telekom Malaysia Bhd (TM) dilaporkan dipilih sebagai pengendali utama projek itu.
Jika diteruskan, Malaysia akan menjadi kerajaan asing pertama yang diketahui secara rasmi memilih teknologi AI China berbanding AS.
Washington sebelum ini memberi amaran tentang penggunaan Ascend 910C di mana mereka mendakwa ia mungkin melanggar peraturan eksport AS, selain membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan perkakasan Huawei untuk mengendalikan maklumat risikan sensitif.
“Teknologi selamat adalah asas kepada ekonomi yang makmur,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, sambil menyifatkan Malaysia sebagai pasaran dan hab pembuatan teknologi yang berkembang serta rakan penting Washington.
Bagaimanapun, menurut sumber Bloomberg, kerajaan Malaysia melihat sebarang keputusan mengenai teknologi projek itu sebagai keputusan komersial semata-mata.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Malaysia tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi asing, selain membangkitkan kebimbangan mengenai undang-undang CLOUD Act AS yang membolehkan mahkamah negara itu mendapatkan data elektronik daripada syarikat teknologi AS walaupun disimpan di luar negara.
“Saya tidak menganggap undang-undang itu munasabah, tetapi bagaimana seseorang mahu berhujah dengan Presiden Trump?” katanya pada April.
Pegawai Majlis Keselamatan Negara Malaysia dijangka ke Washington bulan ini untuk membincangkan isu berkenaan, menurut laporan tersebut.
Kerajaan juga dilaporkan mempertimbangkan satu lagi proses tender yang boleh memberi syarikat seperti Nvidia peluang bersaing secara lebih langsung bagi projek AI berdaulat tersebut.






















