Pelabur-pelabur hartawan di Malaysia merupakan antara pengguna kecerdasan buatan (AI) terbesar dunia bagi tujuan kewangan dan pelaburan, dengan kadar penggunaan mencecah 85 peratus, menurut HSBC Bank Malaysia Bhd.
Tinjauan terbaharu bank itu meletakkan Malaysia dalam tiga pasaran teratas bersama China yang turut mencatatkan 85 peratus, hanya di belakang India pada 86 peratus.
Kajian oleh Ipsos Asia Ltd untuk HSBC itu membabitkan 9,993 pelabur kaya dan bernilai bersih tinggi di 10 pasaran.
Bagaimanapun, pakar dan institusi kewangan kekal sebagai sumber utama idea pelaburan bagi 65 peratus responden serta faktor paling berpengaruh dalam keputusan pelaburan pada 39 peratus, lebih dua kali ganda berbanding AI pada 16 peratus.
Seramai 58 peratus responden Malaysia memilih gabungan kepakaran manusia dan AI sebagai pendekatan ideal bagi keputusan kewangan pada masa depan.
Ketua Perbankan Kekayaan Antarabangsa dan Premier HSBC Malaysia Linda Yip berkata teknologi menawarkan kepantasan dan kecekapan, namun interaksi manusia kekal penting dalam membina kepercayaan.
“Dengan menggabungkan analitik canggih dan hubungan manusia, kami mahu membantu pelanggan membuat keputusan dengan yakin dalam persekitaran kewangan yang semakin kompleks,” katanya, menurut laporan New Straits Times.
Dari segi generasi, Milenial mencatatkan penggunaan AI tertinggi bagi keputusan kewangan dan pelaburan pada 89 peratus, diikuti Gen Z (86 peratus), Gen X (85 peratus) dan Baby Boomers (78 peratus).
“Walaupun penggunaan AI tinggi merentasi generasi, data menunjukkan ia tidak menghapuskan keperluan terhadap pandangan profesional dalam mana-mana kumpulan umur,” kata HSBC.
Antara kegunaan AI termasuk menganalisis prestasi portfolio dan menghasilkan idea pelaburan baharu.























