IKLIM
2 min membaca
ASEAN perlu kaji semula mekanisme tangani jerebu rentas sempadan — Anwar
Anwar berkata masih terdapat ruang untuk menambah baik pendekatan serantau dalam menangani masalah itu dan menteri-menteri ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadapnya
ASEAN perlu kaji semula mekanisme tangani jerebu rentas sempadan — Anwar
Anwar Ibrahim di Kementerian Perladangan dan Komoditi pada Selasa, 8 September 2026. / Facebook/Anwar Ibrahim

ASEAN perlu mengkaji semula mekanisme sedia ada bagi menangani jerebu rentas sempadan yang semakin menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat, khususnya kanak-kanak dan bayi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata masih terdapat ruang untuk menambah baik pendekatan serantau dalam menangani masalah itu dan menteri-menteri ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadapnya, menurut laporan BERNAMA.

“Ini menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi, dan jika kita lihat keadaan di Serian, ia benar-benar membimbangkan,” katanya kepada media pada Selasa.

Kualiti udara di Serian kembali ke tahap berbahaya di mana stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 302 pagi ini.

Darurat jerebu sebelum ini diisytiharkan di seluruh bahagian Serian susulan pencemaran udara yang berbahaya kepada kesihatan awam sebelum ditamatkan pada Isnin.

Anwar berkata isu pembakaran terbuka di Indonesia perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar sebelum sebarang tuduhan dibuat.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan melindungi syarikat tempatan sekiranya terbukti terlibat dalam aktiviti yang menyumbang kepada jerebu.

“Jika ada syarikat Malaysia yang terlibat, kita akan beri ruang kepada Indonesia untuk mengambil tindakan. Kita tentunya menghormati tindakan di sana dan kita tidak akan mempertahankan mereka,” katanya.

Sementara itu, ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) menyifatkan krisis jerebu rentas sempadan sebagai kecemasan hak asasi manusia dan menggesa ASEAN memperkukuh penguatkuasaan, termasuk mewujudkan kerangka undang-undang serantau untuk mempertanggungjawabkan syarikat yang menyebabkan kebakaran hutan serta meningkatkan ketelusan rantaian bekalan.