Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bertarikh 18 September, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada tarikh sama.
Najib diwajibkan mematuhi semua syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani baki hukuman berkenaan.
Kenyataan itu tidak memperincikan syarat-syarat tersebut.
“Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.






















