Lonjakan permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI) yang memacu eksport Taiwan ke paras tinggi dijangka memberi kesan limpahan positif kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia, menurut MBSB Research.
Eksport Taiwan melonjak 41 peratus tahun ke tahun kepada AS$82.4 bilion pada Ogos, didorong permintaan kukuh terhadap perkakasan AI dan semikonduktor.
Eksport komponen elektronik meningkat 58 peratus, manakala produk maklumat, komunikasi serta audio-video berkembang 41.8 peratus.
Permintaan turut kekal kukuh daripada rakan dagang utama, dengan eksport Taiwan ke ASEAN meningkat 42.2 peratus, Amerika Syarikat (AS) 20.7 peratus serta China dan Hong Kong 39.3 peratus.
Import Taiwan pula melonjak 44.3 peratus kepada AS$60.1 bilion, termasuk peningkatan 77.6 peratus dari ASEAN.
MBSB berkata aliran perdagangan teknologi serantau yang kukuh memberi manfaat langsung kepada ekosistem E&E Malaysia, khususnya aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan (ATP) semikonduktor.
“Permintaan kukuh terhadap input perantaraan dari Taiwan dan China memacu eksport barangan Malaysia, pelaburan modal dan imbangan perdagangan keseluruhan,” menurut firma penyelidikan itu.
MBSB berkata peningkatan perdagangan luar yang berterusan akan kekal sebagai antara faktor utama menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan tahun ini, ketika permintaan AI terus mengembangkan rantaian bekalan teknologi di Asia Timur.























