BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Pelabur antarabangsa rancang labur US$50 bilion dalam sektor teknologi Malaysia
Seorang pelabur antarabangsa merancang untuk melabur US$50 bilion (RM204.3 bilion) dalam sektor kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pelabur antarabangsa rancang labur US$50 bilion dalam sektor teknologi Malaysia
(FAIL) Malaysia dilaporkan ingin terus memperkukuh keupayaan dalam bidang teknologi baharu, khususnya AI dan semikonduktor. / Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa seorang pelabur antarabangsa merancang untuk melabur US$50 bilion (RM204.3 bilion) dalam beberapa sektor, termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung Malaysia, lapor BERNAMA.

Anwar berkata cadangan pelaburan itu dimaklumkan kepadanya oleh pelabur berkenaan menerusi sidang video baru-baru ini dan dijangka menjadi antara pelaburan terbesar di rantau ini.

“Selasa lalu, seorang daripada pelabur terbesar dunia mengadakan sidang video dengan saya. Pelabur itu berkata beliau memilih Kuching, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk pelaburan bernilai US$50 bilion, antara pelaburan terbesar di rantau ini.

“Golongan muda yang menuntut di universiti dan sekolah perlu memahami bahawa perkembangan ini bermakna lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Anwar berkata keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia perlu terus dipelihara dengan memastikan kestabilan politik serta persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.

“Jika rakyat tidak yakin terhadap kerajaan ini dan pemimpinnya terus bertelagah, pelabur tidak akan berminat untuk datang ke negara ini,” katanya.

Beliau turut berkata keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia merupakan antara kekuatan negara yang perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.

Anwar berkata Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan dalam bidang teknologi baharu, khususnya AI dan semikonduktor, serta mempergiat pendigitalan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, termasuk peluang pekerjaan yang lebih baik dan peningkatan taraf hidup.