ASIA
2 min membaca
Malaysia, Indonesia selaras penghantaran bantuan padam kebakaran
Tawaran rasmi yang dikemukakan Malaysia pada 9 September merangkumi pemadaman kebakaran dari udara melalui pengeboman air, sokongan pesawat amfibia dan Operasi Pembenihan Awan (OPA).
Malaysia, Indonesia selaras penghantaran bantuan padam kebakaran
Malaysia dan Indonesia sedang menyelaraskan penghantaran bantuan bagi memadam kebakaran yang menyebabkan jerebu rentas sempadan. / AFP

Malaysia dan Indonesia sedang menyelaraskan penghantaran bantuan bagi memadam kebakaran melalui Kementerian Luar Negeri, selepas Jakarta menerima tawaran rasmi Putrajaya, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup.

Menjawab di Parlimen, Arthur berkata Indonesia bersetuju menerima bantuan itu pada 18 September semasa pertemuan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dengan Presiden Indonesia.

“Penyelarasan penghantaran bantuan kini sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara melalui Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya.

Tawaran rasmi yang dikemukakan Malaysia pada 9 September merangkumi pemadaman kebakaran dari udara melalui pengeboman air, sokongan pesawat amfibia dan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

Ini susulan rundingan melalui panggilan telefon antara Arthur dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia pada 24 Ogos bagi mempercepat pemadaman di kawasan terjejas.

Arthur turut mengutus surat kepada Sekretariat ASEAN, menyeru negara di selatan rantau itu mempergiat persediaan menghadapi El Niño yang kuat serta mencegah jerebu rentas sempadan.

“Malaysia telah menggunakan mekanisme ASEAN dan hubungan dua hala secara aktif bagi memastikan tindakan pencegahan serta pemadaman kebakaran di punca dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Di dalam negara, Jabatan Alam Sekitar menerima 1,447 aduan pembakaran terbuka dan melaksanakan 2,132 tindakan susulan antara 3 Ogos hingga 29 September, termasuk 27 kompaun dan tiga tindakan mahkamah.

Sebanyak 14 kebakaran berskala besar di Sarawak dan Johor turut dipadamkan sepenuhnya.

Tujuh siri OPA dilaksanakan di seluruh negara antara 30 Ogos hingga 1 Oktober, termasuk di Sarawak pada 3 hingga 7 September.

Arthur menegaskan Malaysia kekal menyokong sasaran ASEAN bebas jerebu menjelang 2030, dengan keberkesanan tindakan dinilai melalui titik panas, bacaan kualiti udara serta kekerapan dan tempoh jerebu.

SUMBER:TRT Global